ANALISIS KESALAHAN SIFAT & MAUSUF DALAM KALANGAN PELAJAR BIDANG BAHASA ARAB DI UNIVERSITI MALAYSIA
Abstract
Sifat dan Mausuf merupakan elemen Nahu Arab yang menjadi kekeliruan dan kesilapan terbesar penggunaannya dalam kalangan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia. Kajian kualitatif ini bertujuan untuk menganalisis kesalahan dalam penggunaan sifat dan mausuf dalam kalangan pelajar yang mengambil jurusan bahasa Arab di universiti-universiti di Malaysia. Populasi kajian merangkumi semua pelajar yang mengambil kursus bahasa Arab di universiti awam di Malaysia, khususnya mereka yang mempelajari nahu (tatabahasa) sebagai sebahagian daripada kurikulum akademik mereka. Daripada populasi ini, sampel kajian terdiri daripada 60 orang pelajar tahun kedua dan ketiga yang dipilih secara purposive sampling. Dalam kajian ini, dua universiti awam utama di Malaysia terlibat, iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pemilihan kedua-dua universiti ini berdasarkan program pengajian bahasa Arab yang ditawarkan serta kepakaran pensyarah dalam bidang nahu dan linguistik Arab yang memungkinkan analisis kesalahan sifat dan mausuf dijalankan secara lebih mendalam. Kaedah kajian yang digunakan adalah kualitatif, dengan analisis dokumen sebagai alat kajian utama. Data diperoleh daripada hasil kerja bertulis pelajar yang dinilai oleh pensyarah mereka. Dapatan kajian menunjukkan pelbagai kesalahan dalam penggunaan sifat dan mausuf, dengan kesalahan paling ketara berlaku dalam aspek bilangan, diikuti oleh jantina dan kedudukan sifat dalam ayat. Kesalahan dalam aspek bilangan menunjukkan bahawa pelajar sering menghadapi kekeliruan apabila perlu memadankan sifat dengan mausuf yang berbentuk jamak atau muthanna, akibat perbezaan struktur dengan bahasa ibunda mereka. Selain itu, kesalahan dalam aspek jantina sering berlaku disebabkan oleh ketidakfahaman pelajar terhadap peraturan jantina dalam bahasa Arab, manakala kesalahan dalam aspek kedudukan pula mencerminkan kekeliruan pelajar mengenai susunan sintaksis yang betul. Bagi menyelesaikan isu ini, disarankan agar penggunaan bahan pengajaran yang lebih kontekstual dan autentik dijadikan sebahagian daripada kurikulum agar pelajar dapat mengaplikasikan nahu bahasa Arab dalam situasi yang lebih realistik dan bermakna.