PENTERJEMAHAN AL-ISTI‘ĀRAH AL-MAKNIYYAH DALAM HADIS RASULULLAH SAW

TRANSLATION OF AL-ISTI‘ĀRAH AL-MAKNIYYAH IN THE HADITH OF THE PROPHET PBUH

  • Mohamad Syukri Abdul Rahman profesor madya
  • Adnan Mat Ali
  • Khairatul Akmar Ab Latif
  • Md Noor Hussin
  • Muhamad Syafiq Shafie

Abstract

Bahasa Arab mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang berbeza dari bahasa-bahasa lain lantaran ia merupakan bahasa al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Ia kaya dengan nilai-nilai peradaban dan kesantunan yang tinggi. Ia mempunyai gaya bahasa yang istimewa dan unik tidak dapat ditandingi oleh bahasa lain. Antara gaya bahasa Arab yang unik ialah al-Isti‘ārah. Para sasterawan Arab memaparkan gayabahasa al-Isti‘ārah dalam prosa dan puisi mereka. Selain itu, ia juga dipaparkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Bagi melihat keunikan gaya bahasa ini secara mendalam, maka artikel ini cuba menyingkap ketersiratan makna al-Isti‘ārah al-Makniyyat dalam hadis Rasulullah saw secara terperinci berdasarkan metod deskriptif. Selain itu, dengan menggunakan metod yang sama pengkaji akan menganalisis terjemahan al-Isti‘ārah al-Makniyyat (dengan memfokuskan lazim al-Mushabbahbih) dalam hadis-hadis berkaitan berdasarkan teknik penterjemahan Mildred L. Larson.  Hanya tujuh hadis dipilih untuk tujuan perbincangan dan huraian. Dapatan kajian ini dapat dirumuskan bahawa penterjemah menterjemahkan matan hadis-hadis yang dikaji menggunakan tiga teknik penterjemahan yang dikemukakan oleh Mildred L. Larson iaitu: menterjemah tanpa mengekalkan imej dan unsur makna Majāzī bahasa sumber, mengekalkan imej atau unsur makna Majāzī bahasa sumber, menukarkan makna Majāzī bahasa sumber kepada makna Majāzī bahasa sasaran yang mempunyai makna yang sama atau pun serupa. Dalam hal ini penulis berpandangan bahawa penterjemahan al-Isti‘ārah al-Makniyyat dari bahasa sumber ke bahasa sasar khususnya bahasa Arab ke bahasa Melayu perlu kepada pengetahuan tentang teknik terjemahan terkini selain pemahaman hadis secara mendalam berdasarkan kitab-kitab syarah hadis yang muktabar. Selain itu, pemahaman penterjemah tentang unsur metafora dalam budaya asal merupakan faktor penting bagi menghasilkan terjemahan yang bermutu. Hasil kajian ini diharap dapat memberi panduan kepada pencinta hadis Rasulullah s.a.w. dalam memahami bahasa Baginda s.a.w. dan menterjemahkannya dengan gaya bahasa yang berkesan.

Published
2024-12-16